Langkau ke kandungan utama

Penyediaan Tanah untuk Penanaman dalam Pasu

"Untuk campuran tanah anda, gunakan apa yang anda rasa bersesuaian asalkan ianya memberikan ruang untuk akar bertumbuh dengan baik, sistem saliran dan pengudaraan yang baik serta membantu dalam kitaran nutrien"
Pada penulisan yang lepas, saya ada menulis berkenaan campuran tanah kegemaran saya. Campuran tersebut masih menjadi kegemaran, cuma pada penulisan kali ini, saya ingin menggunakan tanah lama.
"...menggunakan tanah lama mempunyai risiko"

Sebelum saya meneruskan penulisan ini, saya harus tekankan bahawa menggunakan tanah lama mempunyai risiko terutama dari sudut nutrien dan penyakit.

Tanah lama yang saya gunakan telahpun direhatkan (a.k.a terbiar dan terdedah kepada hujan 😁) selama beberapa bulan tanpa dikacau. Apabila dilihat, sturktur dan warna tanah agak memuaskan: i.e. warna tanah gelap dan strukturnya agak gembur serta mengandungi sisa organik yang bagus untuk mengembalikan nutrien kedalam tanah.

Tanah lama dipenuhi akar (bahan organik) yang belum didegradasi.

Campuran Tanah dengan Menggunakan Tanah Lama

Campuran tanah lama atas leca ball.

Lapisan bawah pasu, saya masih memulakan dengan menggunakan Sphagnum moss dan leca ball. Leca ball diisi sehingga kira-kira 1/3 kedalaman pasu.

Tabur kompos (kedai) selepas lapisan tanah lama.

Kompos ditaburkan diatas tanah lama kerana syarikat yang mengeluarkannya mendakwa (claim) penggunaan produk ini boleh membanyakkan aktiviti mikro-organisma (tertera pada bungkusan).

Secara teorinya, banyak mikro-organisma bermakna aktivit penguraian sisa organik dalam tanah berjalan dengan cepat, namun ia juga mengurangkan kandungan nutrien kepada tumbuhan (sila rujuk sini untuk penjelasan lebih lanjut). Sebab itu tanah lama saya letakkan pada lapisan bawah dimana akar anak pokok belum boleh capai lagi.

Selepas, lapisan kompos, saya campurkan dengan tanah yang ditumbuhkan legum. Sebenarnya legum ini tumbuh sendiri, iaitu kacang hijau yang telah lama dormant dalam tanah tiba-tiba tumbuh bila tiada tanaman lain. Memandangkan penanaman legum sememangnya memanfaatkan kandungan nutrien dalam tanah, saya biarkan sahaja pokok kacang hijau itu tumbuh.

Campuran medium alternatif selepas lapisan tanah legum.

Selepas itu, saya tambahkan medium alternatif: biochar + pumice + perlite + vermiculite. Tujuannya utama adalah untuk mengelakkan struktur tanah menjadi padat serta biochar diletakkan untuk kegunaan mikro-organisma serta kitaran nutrien.

Campuran medium alternatif ini kemudiannya digaul rata bersama-sama tanah.

Campuran medium alternatif yang telah digaul rata.

Kemudiannya, saya letak lapisan tanah baru. Kali ini saya gunakan tanah  campuran kedai diikuti dengan medium alternatif. Namun saya tidak meletakkan biochar kerana tanah campuran kedai sudah mengandungi biochar.

Campuran medium alternatif kedua.

Setelah itu, keluarkan anak pokok dari polibeg. Anak-anak pokok ini saya tumbuhkan sendiri.

Anak pokok orange.

Anak pokok avocado.

Avocado ini ditumbuhkan dari biji benih.

Anak pokok betik.

Nampaknya, akar pokok betik ini telahpun terkeluar dari pasunya tumbuh kedalam tanah di polibeg. Maka, saya menanam anak pokok betik ini didalam pasunya.

Akar betik yang tumbuh melebihi bekas pasu.

Sebelum menanam, saya tabur zeolite ke bahagian yang ingin ditanam, secara spesifiknya, bahagian dimana akan bersentuh dengan akar anak pokok. Ini disebabkan zeolite mempunyai manfaat dari sudut air dan nutrien, namun ianya tidak membantu dari struktur tanah.

Zeolite ditabur sebelum anak pokok diletakkan ke dalam pasu.

Anak-anak pokok yang telah siap ditanam didalam pasu.
Catatan 1/10/2016.

Oleh kerana bahagian atas dipenuhi oleh tanah lama (dari polibeg anak pokok), maka saya menabur kompos dibahagian permukaan tanah.

Kompos ditabur memandangkan tanah lama
(dari polibeg anak pokok) digunakan.

Akhir sekali, saya menaburkan sungkupan kedai dibahagian atas. Tujuan penggunaan sungkupan adalah;
  1. Menghalang rumpai dari tumbuh.
  2. Mengurangkan penyejatan air dari tanah ke udara terutama pada waktu panas, maka
  3. Membanyakkan kandungan air untuk kegunaan anak pokok.
  4. Mengelakkan tanah menjadi panas pada matahari terik.

Sungkupan ditabur pada permukaan atas.

Secara amnya, campuran tanah kali ini boleh diringkaskan dalam gambarajah dibawah;

Lapisan penyediaan tanah.

Kesimpulan

Mungkin pada pandangan ramai, campuran tanah ini agak rumit serta mengandungi banyak komponen. Mungkin benar dari satu sudut namun sejujurnya, ianya tidak membebankan bagi saya kerana saya agak seronok bermain-main dengan campuran tanah kali ini. Setiap satu komponen yang diletakkan mempunyai sebab tersendiri.

Ini adalah salah satu keseronokan dalam berkebun, ia memberikan ruang pada kreativiti anda. Untuk campuran tanah anda, gunakan apa yang anda rasa bersesuaian asalkan ianya memberikan ruang untuk akar bertumbuh dengan baik, sistem saliran (drainage) dan pengudaraan (aeration) yang baik serta membantu dalam kitaran nutrien.

Ulasan

Panduan Popular

9 Manfaat Leca Ball untuk Aktiviti Perkebunan

" ...penggunaan leca ball  menjadikan pasu ringan sekaligus memudahkan aktiviti berkebun dalam pasu " Gambar atas, kiri : Gambaran bungkusan  leca ball  yang terdapat di pasaran. Gambar atas, kanan : diantara manfaat leca ball . Gambar bawah : maklumat am  leca ball . Leca  merupakan akronim kepada " Lightweight Expanded Clay Aggregate " dan ianya merujuk kepada ciri-ciri leca ball  iaitu; Diperbuat daripada tanah liat yang di kembang kan dan, Ianya adalah ringan .