Langkau ke kandungan utama

5 Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Tanaman Anda

"Sebelum membuat keputusan untuk menanam, adalah seeloknya memperhatikan kawasan yang ingin ditanam"
Tumbuhan merupakan satu organisma yang unik kerana ianya berkebolehan mengambil sumber yang bukan organik dan menukarkannya kepada sumber organik (seperti buah, daun/pucuk, tuber dan sebagainya).

Disebabkan hal ini, banyak tumbuhan ditanam untuk kegunaan manusia, samada dari sudut sumber makanan, kewangan, ubat-ubatan, kecantikan, estetik serta pelbagai lagi. Sebelum membuat keputusan untuk menanam, adalah seeloknya meperhatikan kawasan yang ingin ditanam, untuk memastikan kesesuaian tanaman dengan faktor persekitaran.

Boleh sahaja menanam tanpa menghiraukan faktor-faktor ini, mungkin tanaman anda akan tumbuh dalam keadaan yang elok, mungkin juga tidak atau pertumbuhan terbantut terutama bagi tanaman yang sensitif. Secara amnya, terdapat 5 faktor yang mempengaruhi perkembangan serta pertumbuhan tanaman anda;

Faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan tanaman.


1. Cahaya Matahari

"...penting juga untuk mengetahui samada kawasan anda menerima cahaya matahari pagi atau petang"
Cahaya matahari merupakan sumber tenaga utama bagi tumbuhan menjalankan aktiviti fisiologi seperti proses fotosintesis. Tumbuhan sememangnya memerlukan cahaya matahari yang 'mencukupi' namun definasi perkataan ini mungkin berbeza bagi tumbuhan yang berlainan. Sebagai contoh: oregano dan rosemary boleh ditanam bersama kerana kadar keperluan air dan cahaya mereka adalah sama sedangkan oregano dan basil tidak boleh ditanam bersama kerana keperluan air dan cahaya mereka tidak sama.

Dalam membincangkan cahaya matahari, penting juga untuk mengetahui samada kawasan anda menerima cahaya matahari pagi atau petang. Lazimnya, kebanyakan tumbuhan sukakan cahaya matahari pagi kerana tidak panas sangat namun tidak menjadi masalah sekiranya laman anda terdedah pada cahaya matahari petang, anda masih boleh menanam (saya menanam Bunga Matahari dan jagung pada laman yang terdedah pada waktu petang) cuma sesetengah tanaman mungkin memerlukan anda membina struktur teduhan untuk melindunginya dari terik cahaya matahari petang.


2. Angin dan Pengudaraan

"...sistem pengudaraan amat penting terutama dalam mencegah serangan kulat"
Angin kuat secara amnya kurang baik untuk tanaman muda dimana batang tumbuhan belum cukup kuat dan ianya boleh menyebabkan anak pokok tumbang.

Anak cambah daun ketumbar akibat angin.

Namun apabila bercakap tentang angin dan tumbuhan, ianya lebih merujuk kepada pengudaraan di persekitaran tanaman anda. Mempunyai sistem pengudaraan amat penting terutama dalam mencegah serangan kulat: kulat sukakan kawasan yang lembap. Tanaman yang sering dalam kelembapan mudah untuk menerima serangan kulat.


3. Suhu dan Kelembapan Udara


Faktor ini lazimnya merupakan penting bagi kawasan 4 musim dan tidak menjadi masalah bagi tanaman di Malaysia. Namun ia mungkin menjadi masalah pada waktu tengahari atau musim kemarau, atau kedua-duanya sekaligus kerana adalakanya suhu mencecah 40 degrees celcius dimana ianya dianggap terlalu tinggi untuk tumbuhan: secara spesifiknya, proses fisiologi tumbuhan yang boleh terencat disebabkan oleh suhu yang tinggi.

Kerosakan akibat suhu tinggi boleh dikurangkan dengan memastikan;

  1. Bekalan air yang mencukupi.
  2. Struktur akar yang baik
Suhu tinggi mempercepatkan proses kehilangan air dari liang-liang daun (transpirasi) serta dari permukaan tanah (sekiranya tidak meletakkan sungkupan atau permukaan tanah terdedah). Membekalkan air yang cukup boleh mengelakkan pertumbuhan tanaman terencat manakala sistem akar yang baik memastikan air yang dibekalkan dapat diserap oleh tumbuhan dan disalurkan ke bahagian-bahagian tumbuhan yang memerlukannya.


4. Serangga dan Organisma Tanah 


Serangga dan organisma tanah secara amnya terdapat 3 jenis:

  1. Yang memanfaatkan
  2. Yang memudharatkan
  3. Tiada kesan

Serangga

Lazimnya, apabila pekebun membicarakan soal serangga, topik hangat adalah serangga perosak. Tidak semua serangga membawa kerosakan, ada sesetengah serangga memanfaatkan tumbuhan, malah ada yang bertindak untuk menghalau serangga perosak. Rerama dan lebah dianggap sebagai serangga yang memanfaatkan tumbuhan, namun anak rerama (ulat beluncas) termasuk dalam kategori serangga perosak. 

Dalam mengawal serangan serangga, saya menyediakan racun serangga berdasarkan resepi yang telah ditulis sebelum ini. Di samping itu, saya juga mengamalkan penanaman regu serta penanaman campuran. 

Mempelbagaikan jenis tanaman dalam kawasan yang sama boleh mengelirukan serangga perosak dan ada sesetengan gabungan tumbuhan mencegah kehadiran serangga perosak. Contohnya: penanaman sage bersama kobis boleh mencegah serangan "Cabbage White Butterfly" yang bertelur keatas kobis dan ulat rerama ini boleh makan kobis sampai habis (1).

Sebelum melakukan penanaman regu atau penanaman campuran, sebaiknya kaji dulu tanaman yang ingin ditanam bersama kerana tidak semua tanaman ini serasi. Contohnya, keluarga bawang (bawang besar, bawang putih, chives dan shallots) tidak sesuai ditanam bersama peas kerana tanaman bawang mengeluarkan rembesan kimia yang merencat pertumbuhan peas (1).


Organisma Tanah

Organisma tanah merujuk kepada organisma besar (makro-organisma) serta organisma kecil (mikro-organisma) dan kegemaran saya adalah cacing tanah. Saya sangat gembira bila ternampak cacing tanah kerana lazimnya ia menandakan tanah tersebut bagus (pendapat sendiri). Disamping itu, kehadiran cacing tanah juga memperbaiki sisterm saliran dan sistem pengudaraan tanah dimana ianya bagus untuk pertumbuhan akar.

Membina komuniti organisma tanah penting untuk kitaran nutrien terutama sekiranya anda juga menanam kompos dalam tanah. Kewujudan komuniti tanah memastikan kitaran nutrien dalam tanah anda tidak pernah putus untuk kegunaan tumbuhan lalu mengurangkan penggunaan baja dalam penanaman anda.


Rujukan Kesan Tanaman:

5. Tanah

Tanah merupakan komponen penting dalam penanaman anda (bagi yang menggunakan tanah) sehingga saya telah menulis kira-kira 5 penulisan hanya berkenaan tentang tanah:
  1. Berkenalan dengan Tanah.
  2. Berkenalan dengan Rakan-Rakan Tanah.
  3. Campuran Tanah I.
  4. Cara Mengembalikan Kesuburan Tanah.
  5. Campuran Tanah II.
Secara ringkasnya, tanah yang sihat memastikan tanaman anda tumbuh dalam keadaan yang baik manakala tanah yang bermasalah boleh merencat atau yang lebih teruk, merosakkan tanaman anda.


Kesimpulan

Tujuan penulisan ini bukanlah untuk membebankan anda yang berjinak-jinak dalam dunia perkebunan sebaliknya ingin membantu anda dalam membuat keputusan jenis-jenis tanaman yang ingin ditanam disamping memastikan tanaman anda tumbuh dalam keadaan yang baik. Banyak pertumbuhan tanaman terencat atau lambat kerana tumbuh dalam kawasan kurang cahaya, terlebih cahaya, kurang air serta paling banyak, tanah yang tidak sihat.

Ulasan

Panduan Popular

9 Manfaat Leca Ball untuk Aktiviti Perkebunan

" ...penggunaan leca ball  menjadikan pasu ringan sekaligus memudahkan aktiviti berkebun dalam pasu " Gambar atas, kiri : Gambaran bungkusan  leca ball  yang terdapat di pasaran. Gambar atas, kanan : diantara manfaat leca ball . Gambar bawah : maklumat am  leca ball . Leca  merupakan akronim kepada " Lightweight Expanded Clay Aggregate " dan ianya merujuk kepada ciri-ciri leca ball  iaitu; Diperbuat daripada tanah liat yang di kembang kan dan, Ianya adalah ringan .