"Tumbuhan yang stress akan merembeskan bahan kimia yang menarik perhatian serangga perosak"
Di kawasan temperate (4 musim), aktiviti pertanian lazimnya dilakukan pada awal musim bunga dan berakhir pada musim luruh dimana para pekebun dinasihatkan untuk peka terhadap cuaca sejuk yang boleh mematikan atau merencat pertumbuhan tanaman.
Manakala di kawasan tropika, seperti di Malaysia, aktiviti pertanian boleh dijalankan sepanjang tahun kerana kita tidak perlu risau pada cuaca sejuk: cuaca disini secara amnya adalah hujan dan panas sepanjang tahun.
Namun, ekoran dari pemerhatian damping off terhadap bunga matahari saya, saya mula menyemak balik paradigma ini: benarkah boleh menanam sepanjang tahun?
Hujan dan Kadar Kelembapan Udara + Tanah
Hujan menambah kadar kelembapan udara serta kandungan air dalam tanah. Ini boleh dilihat dari sudut positif dan negatif.
Positif
- Mengurangkan kadar penggunaan air.
- Meredupkan cuaca.
Negatif
- Menggalakkan pertumbuhan rumpai dan kulat (contohnya penyakit damping off atau powdery mildew)
- Tanah yang sentiasa lembap boleh membawa kepada pereputan akar pokok.
Terdapat tumbuhan yang sensitif terhadap kesesuaian cuaca manakala terdapat tumbuhan lain yang tidak. Penanaman tumbuhan yang sensitif + pada waktu yang tidak bersesuaian = tumbuhan yang stress. Tumbuhan yang stress akan merembeskan bahan kimia yang menarik perhatian serangga perosak (1). Mungkin inilah yang menyebabkan anak cambah bunga matahari saya mengalami damping off kerana ianya sedikit peka terutama dalam proses pemindahan kawasan.
Respon tumbuhan terhadap hujan berbeza mengikut jenis tumbuhan. |
Maka, adalah penting untuk mengetahui tumbuhan yang sesuai untuk ditanam semasa musim hujan bagi memastikan tumbuhan yang ditanam berjaya mengeluarkan hasil serta tidak menimbulkan banyak masalah.
Tanaman Musim Hujan
- Bawang putih
- Bayam
- Bende
- Betik
- Cili dan jenis-jenisnya
- Daun kari
- Daun kesum
- Daun pandan
- Daun selasih
- Halia
- Kangkung
- Keladi
- Keledek
- Kelapa
- Kunyit
- Labu
- Lengkuas
- Markisa
- Pisang
- Roselle
- Tanaman kekacang seperti kacang panjang
- Terung
- Tomato ceri
- Timun
- Ubi kayu
Adaptasi Musim Hujan
Bagaimana sekiranya tertanam atau masih ingin menanam tanaman yang dianggap tidak bersesuaian? Bagi saya, saya masih ingin menanam bunga matahari. Boleh ke?
- Cubaan persendirian. Saya menanam secara berperingkat; bermula dari percambahan, pindah ke seed starter pot, kemudian ke pasu sederhana sebelum ke dalam tanah atau pasu yang lebih besar. Selain daripada itu, saya juga membanyakkan tanah pasir untuk memperbaiki sistem salairan disamping mengurangkan penyiraman air.
- Raised bed. Bagi yang menanam di atas tanah, dianjurkan untuk meninggikan sedikit (seperti batas) tempat menanam. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan air dari bertakung dan mereputkan akar tanah.
- Kompos. Penggunaan kompos amatlah digalakkan kerana ianya bersifat seperti baja lambat-lepas (slow-release fertilizer). Musim hujan menggalakkan kehilangan nutrien dan penggunaan baja kimia hanyalah merugikan sahaja.
- Rehat. Ada juga anjuran untuk mengambil kesempatan pada musim hujan untuk berehat dari aktiviti pertanian. Dalam tempoh ini, boleh juga digunakan untuk memulihkan kesuburan tanah samada tanpa menanam apa-apa, ataupun menanam tanaman kekacang untuk mengembalikan kandungan nitrogen dalam tanah.
Kesimpulan
Penulisan ini hanyalah sekadar peringatan untuk diri sendiri supaya lebih peka pada masa akan datang. Walaupun salah satu hobi saya adalah mengetahui punca kegagalan tanaman saya, berjaya membuahkan hasil tanaman adalah penting untuk menaikkan moral dan semangat perkebunan yang adakalanya turun dan naik.
Ulasan
Catat Ulasan