Langkau ke kandungan utama

5 Cara Mengatasi Masalah Ulat Bulu pada Tanaman

Ulat bulu merupakan salah satu fasa pertumbuhan dalam kitaran hidup kupu-kupu dan rama-rama dimana kedua-dua kupu-kupu dan rama-rama merupakan agen pendebungaan yang penting untuk tanam-tanaman seperti tomato dan peria katak.

Namun begitu, kadangkala, kewujudan ulat bulu menjadi suatu cabaran kepada para pekebun kerana mereka merosakkan tanaman 😠.


Kiri, atas: Pokok bunga ros kampung
Kanan, bawah: Pokok hampir botak gara-gara ulat bulu.
Ini kira yang paling elok. Pokok lain dah botak.


Kepelbagaian jenis ulat bulu

Namun begitu, jangan risau. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah serangan ulat bulu;

1. Mengutip secara Manual

Ulat bulu secara amnya adalah besar dan boleh dilihat dengan mata kasar. Sekiranya ternampak ulat bulu pada tanaman anda, kutip ulat bulu tersebut (kalau boleh, gunakan pelapik dan elakkan dari menyentuh ulat bulu secara terus) dan i) campakkan ia kedalan larutan air sabun untuk mematikannya atau ii) bagi para pembaca yang berani, bolehlah melenyekkannya begitu sahaja ataupun iii) pindahkan kedalam sangkar dan bela ulat bulu tersebut hinggalah ia membesar menjadi kupu-kupu/rama-rama. Sesudah itu, periksa bahagian bawah daun dan buang bahagian daun yang mempunyai telur kupu-kupu atau rama-rama.

2. Memasang Jaring 

Memasang jaring disekeliling tumbuhan merupakan salah satu cara berkesan untuk mengelakkan rama-rama/kupu-kupu daripada bertelur pada tanaman anda. Sebelum memasang jaring, sila pastikan bahawa tiada telur kupu-kupu/rama-rama pada permukaan dedaun atau jaring anda hanyalah melindungi ulat bulu dari serangan pemangsa seperti burung. Contoh jaring serangga boleh dilihat disini.

Tumbuhan yang memerlukan agen pendebungaan seperti tanaman dari keluarga Cucurbitaceae (cth: Labu, Peria, Peria Katak & Zucchini) tidak digalakkan untuk memasang jaring kerana ia juga menghalang agen pendebungaan seperti lebah, menyebabkan tanaman anda tidak berbuah.

Contoh tanaman yang tidak memerlukan agen pendebungaan adalah; bebawang, beets, cili, lobak merah, kekacang (peas & beans), saderi, salad, sayur hijau (bayam, sawi, kailan) terung dan tomato.

3. Menarik Pemangsa

Contoh serangga pemangsa yang memakan ulat bulu adalah burung dan tebuan (sesetengah spesies) dan para pekebun boleh menarik perhatian mereka dengan memasang tempat mandi burung (birdbath), tempat makan burung (bird-feeder) ataupun menanam tanaman dari keluarga Apiaceae (untuk menarik perhatian tebuan; cth: jintan manis, ketumbar, lobak merah, parsley, saderi) lalu biarkan tanaman ini berbunga.

Selain daripada itu, membela itik juga dilaporkan bermanfaat dalam pengawalan ulat pada tanaman disamping membekalkan telur segar kepada anda 😉.

4. Merancang Tanaman

Sebaik-baiknya, campur-aduk tanaman-tanaman anda dan elakkan dari menanam tanaman yang sama di lokasi yang sama pada setiap musim. Ulat beluncas (yang warna hijau, tiada bulu, agak comel sebenarnya) sukakan daun tanaman citrus (limau kasturi, limau nipis, limau purut, dll) maka elakkan dari menyusun tanaman ini secara berdekatan kerana ia seolah-olah meja buffet untuk rama-rama/kupu-kupu.

Sebenarnya terdapa ulat yang spesifik untuk tanaman yang spesifik; bila anda mencampur aduk tanaman sayur-sayuran dengan tanaman herba, diselitkan juga pokok bunga/buah, ia sedikit sebanyak mengelirukan serangga perosak lalu mengurangkan kadar peratusan serangan serangga perosak termasuklah ulat bulu keatas tanaman anda.

Kaedah 3 & 4 ini dinamakan sebagai pengawalan secara biologi (bio-control) yang sangat mampan dan mesra alam .

5. Semburan Cili & Racun Alami

Semburan cili boleh menghalau ulat bulu dari tanaman anda. Cara membuatnya boleh rujuk disini.

Selain daripada itu, semburan minyak neem (cth: Neem Serbajadi & Neem Baba) dan semburan bakteria Bacillus thuringiensis (rujuk disini) turut dilaporkan berkesan keatas ulat bulu. Namun begitu, minyak Neem dilaporkan memudharatkan lebah maka seboleh-bolehnya, jadikan ini pilihan terakhir dan dianjurkan untuk menyemburnya selepas senja, sesudah lebah-lebah kembali ke sarang masing-masing

Catatan Penulis

Secara peribadi, kalau penulis melihat 1 ulat bulu/beluncas sahaja pada tanaman, penulis akan biarkan (melainkan pada anak pokok) sahaja kerana kupu-kupu/rama-rama merupakan serangga bermanfaat kepada tanaman. Yang menjadi masalah adalah apabila ulat ini menyerang secara beramai-ramai dan membotakkan pokok.

Pada penulisan akan datang, penulis akan berkongsi kaedah yang digunakan oleh penulis dan kesannya keatas pokok. Nantikan ya!

Ulasan

Panduan Popular

9 Manfaat Leca Ball untuk Aktiviti Perkebunan

" ...penggunaan leca ball  menjadikan pasu ringan sekaligus memudahkan aktiviti berkebun dalam pasu " Gambar atas, kiri : Gambaran bungkusan  leca ball  yang terdapat di pasaran. Gambar atas, kanan : diantara manfaat leca ball . Gambar bawah : maklumat am  leca ball . Leca  merupakan akronim kepada " Lightweight Expanded Clay Aggregate " dan ianya merujuk kepada ciri-ciri leca ball  iaitu; Diperbuat daripada tanah liat yang di kembang kan dan, Ianya adalah ringan .