Apa itu Kompos?
Kompos merujuk kepada bahan-bahan yang telah terurai lalu menjadi sumber bekalan nutrien kepada tanaman selain daripada baja.
Apakah Kebaikan Mengkompos?
- Baja alternatif. Hasil kompos merupakan sumber alternatif kepada penggunaan baja kerana ia kaya dengan nutrien.
- Mesra alam. Proses pengkomposan bersandarkan kepada proses semulajadi dimana bahan-bahan organik diuraikan kepada bentuk yang ringkas. Selain daripada itu, dengan mengkompos, kita membantu mengurangkan sisa buangan dari dapur sekaligus membantu mengatasi masalah sisa buangan didunia ini.
|
Gambar: Dunia yang dipenuhi dengan sampah-sarap.
Inikah dunia yang bakal kita tinggalkan untuk generasi akan datang? |
- Organik. Produk kompos sememangnya bersifat organik kerana bahan asasnya adalah dari sumber organik manakala proses peleraian sisa-sisa organik ini dilakukan oleh makro- dan mikro-organisma dalam tanah.
- Mampan. Aktiviti pengkomposan membantu mencapai kemampanan dengan i) mengurangkan penggunaan bahan kimia; ii) membantu mengatasi masalah sisa buangan dunia iii) memelihara dan memulihara tanah kerana hasil kompos bukan sahaja kaya dengan nutrien tetapi juga kaya dengan mikro-organisma tanah yang penting untuk kesihatan tanah.
Menarik! Bagaimana Caranya untuk Mengkompos?
Sabar dahulu. Sebelum tu, perlu ketahui bahawa tidak semua sisa organik boleh dikomposkan. Sisa organik merujuk kepada sisa-sisa yang berasaskan benda-benda hidup.
|
Gambar: Panduan bahan-bahan yang digalakkan untuk dan ditegah dari mengkompos. |
Terdapat pelbagai cara untuk mengkompos, dan yang paling mudah adalah dengan menanam sisa organik ini kedalam tanah. Teknik ini dinamakan trenching atau 'parit'.
Parit boleh dibina diantara 2 tanaman dan digilirkan antara tanaman-tanaman anda. Namun begitu, sekiranya anda dudk di pangsapuri, anda masih boleh lakukan kompos cara ini dengan menggunakan pasu;
- Kumpul sisa organik. Sebaik-baiknya dipotong halus atau diblender untuk mempercepatkan proses pereputan dan penguraian.
|
Sisa-sisa organik yang tidak boleh dimakan. |
- Kambus dengan tanah. Saya mennggunakan tanah baru (sedikit) dan tanah lama. Selain mengitar-semula sisa-sisa dapur, saya juga mengambil peluang untuk merehatkan dan memberi peluang kepada tanah lama untuk membina semula komuniti mikro-organisma didalamnya disamping memperkayakannya dengan nutrien hasil daripada pengkomposan.
|
Taburkan tanah keatas sisa organik. |
- Pastikan sisa-sisa organik tadi dilitupi dengan tanah sepenuhnya untuk mengelakkan masalah ulat lalat. Walaupun ulat-ulat ini membantu mempercepatkan proses pereputan sisa-sisa organik, namun ia juga menggalakkan kehadiran lalat ke rumah anda.
|
Saya juga mencampurkan tanah pasu yang kelihatan tidah sihat (kering dan berwarna kelabu) |
- Biarkan sehingga tidak lagi kelihatan sisa-sisa organik.
|
Gambar: Tanah selepas proses pengkomposan selesai |
Sekiranya anda duduk dirumah bawah, penggunaan pasu yang berlubang sebagai bekas mengkompos akan menarik perhatian cacing tanah yang bukan sahaja mempercepatkan proses pereputan sisa-sisa organik, malahan hasil buangan cacing tanah ini kaya dengan nutrien dan dikenali sebagai
vermicompost.
|
Gambar: Cacing tanah dalam pasu yang dijadikan bekas untuk mengkompos |
Kesimpulan Penulis
Aktiviti pengkomposan memberi manfaat secara langsung (nutrien) dan tidak langsung (mikro-organisma tanah) serta manfaat jangka pendek (tumbuhan) dan jangka panjang (tanah) kepada tanam-tanaman anda. Pengkomposan cara parit ini menawarkan anda semua cara mengkompos yang paling mudah, sehinggakan kita tiada alasan untuk tidak mengkompos.
Ulasan
Catat Ulasan