Langkau ke kandungan utama

5 Ciri Asas Tanah untuk Perkebunan (Dikemaskini 6/11/18)

"...tanah menjadi gelap hasil dari proses pereputan bahan-bahan organik"
Tanah merupakan medium konvensional dalam dunia perkebunan dan ianya wujud dalam pelbagai tekstur serta warna.
Kepelbagaian warna dan tekstur tanah

Walaupun wujud variasi, ciri-ciri asas tanah yang baik untuk aktiviti perkebunan adalah;

1. Kaya dengan nutrien.
2. Mempunyai struktur yang sederhana; tidak terlalu padat atau terlalu peroi.
3. Mampu menyimpan air secukupnya.
4. Mengandungi sisa-sisa organik.
5. Mempunyai nilai pH yang bersesuaian.

5 ciri asas tanah untuk perkebunan

Secara amnya, tanah yang berwarna gelap (coklat/hitam) dipercayai bagus untuk perkebunan kerana kebanyakan tanah yang berwarna gelap sememangnya kaya dengan nutrien; tanah menjadi gelap hasil dari proses pereputan bahan-bahan organik. Namun, ini tidak bermakna semua tanah yang berwarna gelap kaya dengan nutrien.

1. Nutrien

Ketersediaan nutrien dalam tanah merupakan langkah pertama untuk memastikan hasil tanaman yang baik kerana nutrien adalah penting untuk;
  • Fotosintesis. Fotosintesis merupakan proses asas dalam tumbesaran tanaman.
  • Kesihatan tumbuhan. Kecukupan nutrien memberi tumbuhan kekuatan untuk melawan serangan serangga dan penyakit.
  • Pertumbuhan tanaman.Kecukupan nutrien penting bagi memastikan proses tumbesaran tanaman berjalan dengan lancar; kekurangan nutrien boleh membawa kepada pertumbuhan yang terbantut.
Penggunaan tanah yang kaya dengan nutrien merupakan aset para pekebun; selain daripada memastikan pembentukan hasil, ia juga mampu mengurangkan penggunaan baja serta racun serangga/kulat

2. Struktur Tanah

Struktur tanah penting kerana ianya berkait rapat dengan pertumbuhan akar tumbuhan serta penyimpanan air. Tanah peroi dianggap sebagai sempurna untuk kebanyakan tanaman, dimana ia tidak padat seperti tanah liat, juga tidak terlalu poros seperti tanah pasir.

Kepentingan struktur tanah tidak harus dipandang ringan terutamanya pada musim hujan; tanah yang terlalu padat mampu menakung air dimana ia boleh menyebabkan pereputan akar disamping menggalakkan pembiakan kulat pembawa penyakit.

3. Keupayaan Menyimpan Air

Air merupakan asas kehidupan. Dalam konteks perkebunan, sumber air adalah kritikal dalam penyerapan nutrien serta proses fotosintesis; sekiranya sumber air mencukupi, tumbuhan dapat menyerap nutrien dan berfotosintesis secara optimal manakala kedua-dua proses ini menjadi berkurangan sekiranya sumber air tidak mencukupi.

Kadar simpanan air dalam tanah boleh diperbaiki dengan penggunaan leca ball, sabut kelapa dan vermiculite. Namun begitu, adalah penting untuk mengelakkan dari membekalkan air yang berlebihan kerana ianya boleh membawa kepada pereputan akar. Akar merupakan organ penyerapan air dan nutrien, sekiranya rosak atau terganggu, ianya boleh merencat penyerapan air dan nutrien serta proses fotosintesis.

4. Sisa Organik

Bahan-bahan organik merujuk kepada sisa benda-benda hidup, lazimnya daun-daun kering, najis haiwan herbivor (seperti lembu) serta sisa masakan atau makanan (yang berasaskan tumbuhan). Bahan-bahan organik yang berasaskan tumbuhan secara amnya dianggap selamat berbanding dengan bahan-bahan organic yang berasaskan haiwan kerana dikhuatiri pencemaran merkuri (sisa laut), hormon (sisa haiwan ternakan) serta pemindahan patogen (mikro-organisma yang menyebabkan penyakit).

Tanah yang mengandungi sisa organik dapat memastikan kesinambungan aktiviti mikro-organisma dalam tanah: sisa organik ini menjadi sumber makanan kepada mikro-organisma dalam tanah lalu menggalakkan populasi mereka di mana apabila mikro-organisma tanah ini mereput, ia menjadi sumber nutrien kepada tumbuhan. Lebih banyak mikro-organisma dalam tanah maka lebih banyak nutrien yang boleh diberi kepada tumbuhan.

5. pH

pH merujuk kepada keadaan tanah samada ianya berasid atau beralkali. Mengetahui pH tanah adalah penting kerana ianya mempengaruhi pengambilan nutrien daripada tanah oleh tumbuh-tumbuhan.

Sebagai contoh, nilai pH yang tinggi merencat pengambilan zat besi oleh tumbuhan yang penting untuk pembentukan klorofil. Klorofil merupakan organ kecil yang penting untuk proses fotosintesis dalam tumbuhan.

Nilai pH dalam tanah boleh diketahui dengan penggunaan pH meter.

Catatan Penulis

Ciri-ciri yang disenaraikan hanyalah bersifat umum. Perlu diketahui, setiap tanaman adalah unik dan setiap satu mempunyai ciri-ciri tanah tertentu yang disukai. Sebagai contoh, tanaman nanas menyukai tanah yang lebih poros dan kering manakala tanaman tomato menyukai tanah yang sedikit berasid semasa fasa kematangan buah.

Ulasan

Panduan Popular

9 Manfaat Leca Ball untuk Aktiviti Perkebunan

" ...penggunaan leca ball  menjadikan pasu ringan sekaligus memudahkan aktiviti berkebun dalam pasu " Gambar atas, kiri : Gambaran bungkusan  leca ball  yang terdapat di pasaran. Gambar atas, kanan : diantara manfaat leca ball . Gambar bawah : maklumat am  leca ball . Leca  merupakan akronim kepada " Lightweight Expanded Clay Aggregate " dan ianya merujuk kepada ciri-ciri leca ball  iaitu; Diperbuat daripada tanah liat yang di kembang kan dan, Ianya adalah ringan .