Langkau ke kandungan utama

Cara Terbaik untuk Menumbuhkan Keratan Pokok

Melayu/English

Penanaman melalui keratan merupakan salah satu cara tumbuhan membiak; pembiakan melalui cara in membolehkan tanaman berbuah/mengeluarkan hasil dengan lebih cepat berbanding dengan tumbuhan yang ditanam melalui biji benih.

Menumbuhkan tanaman baru melalui keratan merupakan suatu kemahiran yang diasah melalui pengalaman; sesetengah keratan mudah ditumbuhkan manakala sesetengah keratan yang lain memerlukan penjagaan yang lebih rapi.

Kaedah yang penulis kongsikan ini berdasarkan panduan yang penulis belajar, baca dan amalkan. Penulis berharap para pembaca sekalian memperoleh manfaat dari penulisan ini.

1. Potong bawah Ruas/Nod

Satu petua yang penulis pelajari dari seorang penjual bonsai semasa Floria Diraja Putrajaya 2018 adalah, potong di bawah ruas, atau nod, atau bonggol pada keratan kerana akar baru akan terbentuk pada ruas tersebut. Jarak untuk dipotong bergantung pada kepanjangan 'internode' i.e. jarak antara dua ruas. Kalau internode tu panjang, potong pada kepanjangan 1-2 cm bawah ruas sudah memadai.

Akar baru yang terbentuk pada ruas Bayam Brazil.

Panduan: Tumbuhan secara amnya menyimpan simpanan sumber tenaga dalam batang dan daun; sumber tenaga ini diperlukan untuk pembentukan daun baru dan akar, bergantung pada pengaruh persekitaran. Lantaran itu, usia keratan memainkan peranan yang penting; keratan baru tidak mempunyai simpanan yang mencukupi manakala pada keratan tua, sel-sel yang sepatutnya membentuk daun dan akar boleh jadi sudah pun menjadi sel-sel lain dalam tumbuhan. Semasa menumbuhkan keratan Mulberry, penulis perhatikan bahawa keratan yang tebal (diameter dalam 1 cm) mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding dengan keratan yang kurus; ini tidak bermakna keratan yang kurus tidah boleh ditumbuhkan, boleh, cumanya kadar pertumbuhan daun tidak sebanyak dan secepat bebanding dengan keratan tebal.

2. Buang Daun atau Tidak?

Ianya bergantung pada jenis tanaman.

✓ Daun (pada bilangan kecil seperti 2-3 helai daun)

✗ Daun
  • Limau (Citrus).
  • Mulberry.
  • Tin.

Tidak kisah
  • Bayam Brazil.
  • Bunga Raya.
  • Kesum.
  • Ros Jepun.

Catatan penulis:
Senarai ini akan dikemaskini bergantung pada penambahan ilmu baru penulis. Sekiranya ada pengubahsuaian, penulis akan meletak "dikemaskini" pada tajuk, ataupun berkongsi di Mukabuku Laman Lily.
Penulis sudah lama menanam keratan limau purut ini sebelum penulis membaca
perlu buang kesemua daun. Beberapa hari kemudian, pucuk daun mula timbul.

3. Rendam atau Tanam Terus?

Sesetengah keratan mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih baik sekiranya direndam terlebih dahulu manakala sesetengah keratan lain tumbuh dengan lebih baik sekiranya ditanam terus ke dalam tanah.

Rendam
  • Mulberry.
  • Tin.
  • Penting: Tukar air setiap hari.
  • Nota: Keratan mulberry dan tin boleh ditanam terus ke dalam tanah. Namun penulis mendapati keratan tersebut mempunyai kadar peratusan yang lebih tinggi sekiranya mereka direndam terlebih dahulu sehingga kalus terbentuk. Kalus inilah yang akan membentuk menjadi akar.
Pembentukan kalus pada keratan tin.

    Tanah (atau medium lain)
    • Bangun-bangun.
    • Bunga Raya.
    • Bunga Ros.
    • Limau (Citrus)
    • Selasih (Kemangi, Selasih manis).
    • Spearmint.
    • Penting: Elakkan dari menyentuh atau menggerakkan keratan batang sehingga akar telah terbentuk. Sebarang gangguan/gerakan boleh merencat pembentukan akar.
    • Nota #1: Pembentukan akar boleh dirangsang dengan penggunaan hormon penggalak akar. Penulis menggunakannya untuk keratan limau dan bunga ros kerana penulis mengalami kesukaran untuk menumbuhkan mereka.
    • Nota #2: Ini adalah sekadar perkongsian: penulis lazimnya menggunakan cocopeat + perlite untuk tanaman herba dan campuran tanah (bergantung pada jenis tanah & medium bukan tanah yang ada) untuk tanaman selain herba. Para pembaca juga dialu-alukan untuk berkongsi medium kegemaran tuan/puan ☺.
    Keratan daun selasih manis (sweet basil) yang ditumbuhkan
    didalam cocopeat + sedikit tanah bakar (perlite sudah habis).

      Tidak kisah
      • Bayam Brazil.
      • Daun kesum.
      • Ros Jepun

        Catatan penulis: Senarai ini akan dikemaskini bergantung pada penambahan ilmu baru penulis. Sekiranya ada pengubahsuaian, penulis akan meletak "dikemaskini" pada tajuk, ataupun berkongsi di Mukabuku Laman Lily.

        4. Perlu tutup atau tidak?

        Secara amnya, penulis tidak menutup keratan penulis kecuali keratan Limau Purut dan Bunga Ros.

        Salah satu sebabnya, tanaman ini hidup dengan baik dibawah sinaran cahaya matahari. Dengan meletakkan penutup, titisan air yang terbebas keluar akan terperangkap didalam kawasan penutup tersebut sekaligus menambah kadar kelembapan di sekeliling keratan. Kadar kelembapan yang tinggi mengurangkan jumlah air yang bakal terbebas keluar dari tanaman melalui proses transpirasi sekaligus mengelakkan keratan dari mengalami dehidrasi yang boleh melemahkan/mematikan keratan.
        Setelah mengalami banyak kegagalan, penulis akhirnya berjaya menumbuhkan
        keratan bunga ros dengan i) potong dibawah ruas, ii) biarkan dua helai daun sahaja, 
        iii) medium yang mempunyai sistem saliran yang baik, iv) tutup and v) kena matahari.

        5. Bagaimana tahu samada keratan sudah tumbuh atau tidak?

        A) Pembentukan daun baru
        Daun yang berwarna hijau pekat (kiri) merupakan daun asal manakala
        daun yang berwarna hijau muda merupakan daun baru yang terbentuk.

        B) Perubahan rona warna pada keratan. Sekiranya daun masih tidak terbentuk dan keratan batang bertukar rona warnanya, kebarangkalian tinggi keratan tersebut sudah tidak sesuai untuk ditumbuhkan.

        Catatan Penulis

        Setakat ini sahaja pengetahuan dan pengalaman penulis menumbuhkan keratan-keratan yang disebut. Sekiranya penulis mempelajari ilmu baru, penulis akan mengemaskini penulisan ini. Penulis turut mengalu-alukan sebarang komentar atau maklumbalas para pembaca semua.

        Ulasan

        Panduan Popular

        9 Manfaat Leca Ball untuk Aktiviti Perkebunan

        " ...penggunaan leca ball  menjadikan pasu ringan sekaligus memudahkan aktiviti berkebun dalam pasu " Gambar atas, kiri : Gambaran bungkusan  leca ball  yang terdapat di pasaran. Gambar atas, kanan : diantara manfaat leca ball . Gambar bawah : maklumat am  leca ball . Leca  merupakan akronim kepada " Lightweight Expanded Clay Aggregate " dan ianya merujuk kepada ciri-ciri leca ball  iaitu; Diperbuat daripada tanah liat yang di kembang kan dan, Ianya adalah ringan .