Langkau ke kandungan utama

Bangun-Bangun (Plectranthus amboinicus)

Semasa berhari raya, saya menziarahi jiran lama dan dihadiahi dengan pokok bangun-bangun. Pesannya "cucuk je dalam tanah, nanti tumbuhlah". Memang benar, tanaman ini bertahan sepanjang perjalanan pulang dari kampung dan tumbuh mencanak-canak pada musim hujan.

Daun pokok bangun-bangun.

Pokok bangun-bangun juga dikenali dengan nama Spanish thyme, Indian borage, Mexican mint dan Cuban oregano. Disebabkan ini adakalanya pokok bangun-bangun disalah anggap sebagai pokok oregano. Kesilapan ini kemungkinan berpunca kerana kedua-dua tanaman ini mempunyai bau yang sama, walaupun bau pada pokok bangun-bangun adalah lebih kuat (dan sedap baunya 👃)
Gambar kiri, atas: Daun oregano.
Gambar kanan, bawah: Daun bangun-bangun.
Perhatikan perbezaan dari segi bahagian sisi, ketebalan dan corak urat daun.

Pokok bangun-bangun berasal dari keluarga Lamiceae manakala pokok oregano berasal dari keluarga Origanum.

Nama saintifik bagi pokok bangun-bangun adalah Plectranthus amboinicus; perkataan amboinicus merujuk kepada Pulau Ambon di Maluku, Indonesia. Dari sana, pokok bangun-bangun disebarkan di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin. Namun begitu, ada juga laporan lain yang menyatakan bahawa pokok bangun-bangun asalnya dari Afrika dan sampai ke Asia Tenggara melalui pedagang Arab (🤔). Pokok ini sampai di Amerika melalui Sepanyol (Spain) lantaran nama Spanish thyme.

Pokok bangun-bangun merupakan tanaman sukulen i.e mempunyai daun yang lebih tebal berbanding tanaman lain. Contoh lain bagi tanaman sukulan adalah;
  • Aloe vera.
  • Ati-ati.
  • Kaktus.

Pokok bangun-bangun kebiasaanya tumbuh pada ketinggian 30-45 cm namun ia juga boleh mencecah sehingga 1 meter.

Penggunaan Daun Bangun-Bangun

Daun bangun-bangun lazimnya digunakan untuk;
  • Rawat batuk dan kahak. (Catatan penulis: Sebenarnya, ada banyak manfaat kesihatan lain yang dilaporkan, namun kurang sumber rujukan yang menyokong kenyataan tersebut, maka penulis memilih untuk tidak mengongsinya dalam artikel ini. Namun sekiranya ada maklumat baru, penulis akan mengemaskini artikel ini).
  • Masakan.

Untuk merawat batuk dan kahak, terdapat 3 cara daun bangun-bangun boleh dimanfaatkan;
  1. Daun bangun-bangun direbus (dijadikan sebagai teh) dan diminum. Pendapat ramai mengesyorkan ambil 2-3 helai daun, namun sekiranya kali pertama atau ingin mencuba, boleh mulakan dengan sehelai daun dahulu.
  2. Dijadikan sebagai ulam.
  3. Dikunyah begitu sahaja (sebaiknya basuh daun tersebut sebelum dimasukkan kedalam mulut).

Untuk masakan (resepi dari seluruh dunia);
  1. Rempah untuk memerap daging dan ikan. Daun bangun-bangun adakalanya digunakan untuk menggantikan oregano, thyme, sage atau ajowan caraway.
  2. Sebagai salad
  3. Dimakan bersama roti dan mantega.
  4. Goreng celup tepung.
  5. Bahan utama untuk Cuban Black Bean Soup.
  6. Dimasak seperti masak daun bayam

Pembiakan Pokok Bangun-Bangun

Pokok bangun-bangun sememangnya mudah dibiakkan, samada melalui
  1. Biji benih, atau 
  2. Keratan batangnya. 

Untuk penulisan ini, penulis melakukan sedikit ujikaji untuk melihat, cara keratan bagaimana yang memberikan hasil yang terbaik;

Gambar atas: Pelbagai jenis keratan; i) Daun tidak dibuang,
ii) Daun lapisan-2 sahaja dibuang, iii) Daun lapisan-2 sahaja disimpan,
iv) Daun lapisan-3 kebawah dibuang, v) Semua daun dibuang.
Gambar bawah: Tunas daun yang mula tumbuh sewaktu melakukan pembiakan keratan.

Tunas daun baru mula muncul manakala tunas lama semakin membesar.

Perkembangan tunas daun

Perkembangan tunas daun.

Kesimpulan: Semua jenis keratan tumbuh, namun pada pemerhatian penulis, keratan yang mempunyai daun paling banyak menumbuhkan akar yang paling banyak berbanding dengan keratan-keratan yang lain manakala keratan yang tiada daun kebanyakannya mati.

Hujan lebat hari-hari menyebabkan akar baru tumbuh walaupun
jauh dari tanah. Ini menunjukkan betapa mudahnya ia membiak.

Penjagaan Pokok Bangun-Bangun

Lokasi. Pokok bangun-bangun sukakan kawasan yang panas dan kering.

Tanah. Tanah yang mempunyai sistem saliran yang baik adalah penting kerana air bertakung tidak elok untuk akar pokok bangun-bangun.

Pengairan. Siraman seperti biasa, pagi dan petang. Kalau cuaca redup, siram sekali sahaja manakala bila cuaca panas dan daun mula layu, dianjurkan untuk memberi siraman tambahan. Siraman pada waktu panas lazimnya tidak dianjurkan kerana kebanyakan air akan tersejat ke atmosfera dan sedikit sahaja yang akan dimanfaatkan oleh tumbuhan.

Artikel berkaitan:

Pembajaan. Baja yang dianjurkan adalah baja NPK 10:10:10 atau baja lambat lepas. Letak baja berjauhan dari terkena batang dan daun untuk mengelakkan kesan terbakar akibat penggunaan baja (fertilizer burn). Catatan penulis. Penulis belum pernah menggunakan baja untuk pokok bangun-bangun sebaliknya lebih suka menggunakan kompos ataupun air basuhan ikan dan beras.

Pemangkasan. Pertumbuhan pokok bangun-bangun adalah sangat cepat terutaman pada musim hujan (sekiranya tanah tidak menakung air) maka pemangkasan adalah perlu untuk mengelakkanya tumbuh tanpa terkawal. Buang mana-mana bahagian batang yang telah patah atau daun yang terkoyak. Catatan penulis. Sekiranya tidak berpenyakit, penulis gemarkan menabur bahagian yang telah dipangkas diatas permukaan tanah tanaman tersebut. Dedaun atau batang tumbuhan yang dipangkas akan bertindak pada awalnya sebagai sungkupan, dan kemudiannya sebagai baja apabila diuraikan.

Serangan Serangga. Pokok bangun-bangun dilaporkan mengalami masalah spider mites dan mealybugs (koya). Namun penulis belum pernah melihat serangan ini pada pokok bangun-bangun penulis.

Pembentukan Bunga. Bunga pokok bangun-bangun dalam bentuk panicle (sejambak, seperti padi) dan berwarna putih, merah jambu atau lavender. Boleh lihat disini atau disini.

Penanaman regu. Penulis belum pernah melihat pokok bangun-bangun penulis diserang serangga (sama seperti Ketumbar Jawa). Ini membuatkan penulis tertanya samada pokok bangun-bangun sesuai dijadikan tanaman regu bagi tanaman lain untuk mencegah/mengurangkan serangan serangga. Baru-baru ini penulis menyelitkan pokok bangun-bangun di celah-celah pokok Lada Benggala (bell pepper).

Catatan Penulis

Pokok bangun-bangun ada dilaporkan bermanfaat untuk mengelakkan dari gigitan nyamuk, sama seperti daun serai wangi. Cara mudah menggunakannya adalah dengan mengoyakkan daun bangun-bangun dan sapukan pada anggota yang terdedah. Penulis pernah cuba, tapi kurang pasti kesannya namun suasana berkebun menjadi lebih seronok dengan bau daun bangun-bangun 👃, ala-ala aromaterapi.

Rujukan

Ulasan

Panduan Popular

9 Manfaat Leca Ball untuk Aktiviti Perkebunan

" ...penggunaan leca ball  menjadikan pasu ringan sekaligus memudahkan aktiviti berkebun dalam pasu " Gambar atas, kiri : Gambaran bungkusan  leca ball  yang terdapat di pasaran. Gambar atas, kanan : diantara manfaat leca ball . Gambar bawah : maklumat am  leca ball . Leca  merupakan akronim kepada " Lightweight Expanded Clay Aggregate " dan ianya merujuk kepada ciri-ciri leca ball  iaitu; Diperbuat daripada tanah liat yang di kembang kan dan, Ianya adalah ringan .