Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis kaedah bijak kewangan melalui aktiviti perkebunan samada melalui penjimatan bahan dapur, ataupun menjana pendapatan sambilan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan penulis yang tidak seberapa. Harapannya ialah ia dapat membantu rakyat Malaysia dalam mengharungi waktu yang sukar ini.
Contoh iklan perniagaan berasaskan tanaman. |
Kita menghadapi masa yang sukar akibat virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan wabak COVID-19 di seluruh duna. Banyak perniagaan terjejas dan ramai pekerja diberhentikan. Kadar pengangguran dijangka meningkat.
Pada waktu ni, apa yang perlu adalah bersederhana dalam berbelanja; berbelanja adalah perlu untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan namun elakkan berbelanja boros bagi mengelakkan masalah kewangan.
Disamping itu, bercucuk-tanam berkebolehan mengurangkan beban perbelanjaan dapur disamping memberikan sumber yang bernutrisi.
Penjimatan melalui Perkebunan
Tanam tanaman yang mudah dan cepat dituai hasil (〜2 bulan) seperti Bayam, Bayam Brazil, Kangkung dan Sawi (atau sayuran hijau lain) kerana mereka mudah tumbuh dan mudah dijaga. Masalah utama lazimnya adalah serangan serangga dan siput babi. Bayam Brazil dan kangkung turut boleh dibiakkan melalui keratan.
Selain daripada itu, boleh juga tanam tanaman yang kerap digunakan dalam masakan tempatan seperti bendi, cili, kacang buncis dan terung disamping tanaman ini boleh tumbuh di kawasan yang panas. Pokok-pokok sepert bendi, cili dan terung perlu dipantau di bahagian bawah daun untuk memeriksa kehadiran serangga perosak.
Tanaman herba seperti halia dan kunyit agak membantu kerana mereka tidak memerlukan penjagaan teliti selagi mana keperluan asas seperti air, nutrient dan cahaya mencukupi. Penulis lazimnya menanam mereka dalam beberapa pasu. Beberapa bulan kemudian, penulis akan mengeluarkan halia dan kunyit yang telah membiak dari 1 pasu, basuh dan simpan yang lain, kecuali 1-2 yang muda untuk ditanam baru.
Mungkin akan ada yang tertanya, betulkah jimat?
Jawapan sebenar, terpulang. Ia bergantung pada usaha masing-masing
Contoh 1: Kalau nak kira secara satu-satu (Tanah RM2, Benih RM5, Baja RM10 = 〜RM17) berbanding harga sayur (〜RM1.50 - RM7 / kilogram), akan nampak leih murah dan mudah dengan membeli.
Contoh 2: Saya beli 5 bag tanah (RM10). Saya tanam bayam (Benih RM5). Benih yang digunakan paling banyak untuk 5 bag adalah separuh dimana saya tanam selang seminggu supaya pokok matang berkala. Baja (RM10) diletakkan setiap 2 minggu (anggaran 1 sudu/bag tanah). Dalam tempoh 2 bulan, saya sudah ada bekalan bayam untuk 5 minggu berturut-turut (Harga bayam RM1.50 - RM2.00 / kilogam; 5 minggu = RM7.50 - RM10.00). Bila dituai, saya tidak mencabutnya sebaliknya sekadar memotong keratan. Beberapa hari kemudian, pucuk baru akan timbul dan akan matang dalam tempoh 1 bulan - 1 bulan setengah. Maka saya sudah ada bekalan bayam untuk 5 minggu berturut-turut (Harga bayam RM1.50 - RM2.00 / kilogam; 5 minggu = RM7.50 - RM10.00; jumlah wang disimpan pada tuaian kedua 〜RM15 - RM20). Pada tuaian kedua ini, wang yang disimpan sudah boleh dianggap "break-even" dengan harga kos tanah, separuh benih dan sebahagian baja yang digunakan. Bagaimana sekiranya ada tuaian ketiga? Bagaimana sekiranya saya menanam baki benih?
Contoh 3: Rumah bertanah. Saya belanja RM5 beli benih kangkung. Saya siram dengan air basuhan beras dan ikan sebagai bahan penyubur tanah. Setiap hari saya memeriksa kehadiran serangga dan sembur dengan sembur buatan sendiri walaupun ia tidak bertahan lama. Dalam 2 bulan, saya tuai, simpan sebahagian untuk makan dan jual selebihnya (Harga jualan "katakan" RM5-RM10 tolak kedai). Saya beli benih sayur lain. Dan proses ini berulang. Maka dari sini, aktiviti perkebunan bukan sahaja menjimatkan malahan, menjana pendapatan tambahan.
Maka sebab itu saya berkata, ia terpulang pada usaha masing-masing.
Penjanaan Wang melalui Perkebunan
Sebelum terjun kedalam dunia perkebunan untuk menjana pendapatan, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan:
1) Kenali (survey) pasaran. Ada platform untuk dijual? Bagaimana dengan pengangkutan?
2) Ramai tanam tanaman yang sama? Kalau ada pasaran, ok, teruskan. Kalau tidak, usahakan tanaman lain yang ada permintaan.
3) Kalau berpeluang bekerjasama dengan beberapa individu lain, lebih bagus, tapi berisiko. Individu A menanam, Individu B mencari pelanggan/pekedai di kawasan bandar, Individu C menjadi pengangkutan. Untuk keuntungan maksima, Individu B harus mencari pelanggan sehingga mencapai bilangan dimana jumlah hasil jualan melebihi harga keseluruhan kos. Konsep ini saya belajar bila memesan ikan patin dari Temerloh (Saya selaku pembeli duduk di Selangor, memesan dari kenalan yang bertugas mengumpul order. Mereka jelaskan bahawa mereka sekiranya bilangan order tidak mencukupi, ikan patin tidak dapat diangkut dari Temerloh). Namun untuk melaksanakannya dengan berjaya, setiap individu harus amanah dalam menjalankan tugas masing-masing dan jujur dalam membahagikan keuntungan.
Kesimpulan
Aktiviti pertanian merupakan teras ekonomi kerana ia merupakan sumber makanan; sumber asas manusia. Maka secara teori, aktviti pertanian berpotensi menjadi punca pendapatan yang berterusan. Samada ia benar-benar menjadi sumber pendapatan atau tidak bergantung pada usaha dan kebijaksanaan kita.
Usaha penting supaya tanaman kita menjadi, namun kebijaksanaan (ilmu) adalah penting supaya hasil tanaman mampu menjana pendapatan. Ini adalah masa untuk meneruskan kelangsungan hidup, bukan masa untuk mementingkan diri sendiri kerana seboleh-bolehnya, saya ingin kita semua bangkit bersama-sama berganding bahu menjana ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan