Langkau ke kandungan utama

Bendi (Abelmoschus esculentus/Hibiscus esculentus)

Melayu/English
Fakta Menarik: Ramai yang tidak suka makan bendi kerana berlendir; namun lendir (juga dikenali sebagai mucilage) mengikat kolesterol dan jus hempedu yang membawa toksin daripada hati, lalu membawa mereka keluar daripada badan (Gamede et al., 2014).
Ada tiga kedai kegemaran saya; Jaring (Subang Jaya), Kak Nik Ikan Patin (Pantai Dalam) dan Restoran D'Limau Nipis (Bangi). Ketiga-tiga mereka menyediakan juadah ulam-ulaman termasuk bendi rebus yang sangat sedap terutamanya dimakan bersama sambal belacan 😋

Semasa melayari mukabuku, penulis ternampak iklan benih bendi hijau dan merah dari Mango Garden; maka penulis pun membelinya...hehehe. Bungkusan benih bendi yang sampai sangat menarik; cantik dan mesra-alam. Penulis juga diberi dua penanda tanaman (plant label)...sangat bermanfaat, syabas 👍 Mango Garden. Arahan untuk mencambah biji benih tertera pada belakang bungkusan.

1. Bungkusan benih bendi dan penanda tanaman.
2. Muka hadapan bungkusan, menunjukkan gambar bendi merah dan hijau.
3. Arahan mencambah biji benih yang tertera di bahagian belakang bungkusan.  

Bendi merupakan tumbuhan saka (perennial) dimana ia akan terus hidup selepas hasil dituai. Di Malaysia, tanaman bendi boleh hidup selama 180 hari, atau 6 bulan. Memandangkan bendi boleh dituai kira-kira 50-55 hari selepas ditanam, maka anda boleh menuai hasil bendi selama 100 hari, bergantung pada penjagaan tanaman.

Bendi secara amnya berwarna hijau, namun wujud juga bendi berwarna merah. Bendi merah mempunyai rasa yang sama dengan bendi hijau, malahan akan bertukar menjadi warna hijau apabila dimasak.

Apakah Manfaat Kesihatan Makan Bendi?

Bendi menawarkan banyak manfaat kesihatan terutamanya bagi pesakit kencing manis dimana anda boleh membaca dengan lebih teliti disini. Secara ringkasnya;
  1. Kaya dengan serat (baik untuk obesiti, kencing manis, dan penyakit kardio-vaskular), folat (baik bagi wanita yang mengandung dan yang sedang menyusu) dan vitamin K (baik untuk tulang), selain daripada zat besi, niacin, fosforus, dan copper.
  2. Mempunyai kesan anti-tekanan, anti-oksidan, anti-mikrob dan anti-radang.
  3. Membantu mengurangkan kolesterol.
  4. Mempercepatkan pemulihan dari keletihan (fatigue)

Awas:
  • Kajian Khatun et al., 2011 menunjukkan bendi menghalang penyerapan Metformin; ubat yang digunakan untuk mengawal kandungan gula dalam badan. Sila berbincang dengan doktor sekiranya anda menggunakan metformin dan ingin memakan bendi sebagai rawatan alternatif penyakit kencing manis.

Bagaimana Caranya untuk Mencambah Benih Bendi?

Sejujurnya, penulis hanya mengikuti arahan yang tertera pada bungkusan. Namun begitu, digalakkan untuk merendam biji benih semalaman. Terdapat dua pendapat bagaimana biji benih harus ditanam; berdasarkan arahan yang tertera pada bungkusan biji benih, tidak perlu menanam biji benih namun ada juga pandangan yang menganjurkan menanam biji benih pada kedalaman 1-2 cm. Penulis sudah mencuba kedua-dua cara; biji benih bercambah melalui kedua-dua kaedah.

Percambahan biji benih lazimnya berlaku selepas enam hari dan tiga minggu, walaupun benih yang dimiliki penulis bercambah beberapa hari lebih awal; boleh jadi disebabkan oleh benih yang berkualiti (👍) selain daripada cuaca di Malaysia yang panas dan lembap. Suhu minima untuk percambahan biji benih bendi adalah 21℃.

Percambahan biji benih bendi.

Bagaimana Caranya untuk Menumbuhkan Bendi?

Tanah. Tanah yang terbaik adalah tanah yang subur dan mempunyai sistem saliran yang baik. Namun begitu, tanaman bendi juga boleh ditumbuhkan dalam tanah yang kaya dengan tanah liat.

Jarak antara Tanaman. Tanaman bendi merupakan tumbuhan yang tinggi. Disebabkan itu, dianjurkan untuk menanam tanaman bendi pada jarak 1 to 4 kaki (bergantung pada keluasan tanah anda); jarak yang dianjurkan adalah untuk membenarkan tanaman bendi membesar dengan baiknya.

Saiz Bekas. Tanaman bendi boleh ditumbuhkan dalam bekas yang mempunyai diameter 25 cm (contoh: pasu BABA BI-RD-260 (〜RM 15).

Kawasan Penanaman. Bendi merupakan tanaman yang tahan panas dan tahan kering namun cuaca sejuk boleh merosakkan lenggai (pod) bendi.

Penyiraman. Anak pokok (seedlings) bendi memerlukan siraman yang banyak manakala siraman yang biasa untuk tanaman bendi yang sedang membesar.

Pembajaan. Baja yang seimbang samada dalam bentuk cecair atau baja NPK (10:10:10) sebulan sekali manakala dua kali sebulan semasa pembentukan lenggai dan pengutipan hasil. Baja tinja atau kompos matang juga boleh digunakan.

Rumpai. Buang rumpai yang tumbuh semasa anak pokok masih kecil manakala gunakan sungkupan semasa pokok sedang membesar.

Petua #1. Kebanyakan varieti pokok bendi mempunyai duri-duri halus maka digalakkan untuk memakai sarung tangan semasa menguruskan pokok bendi. Terdapat juga varieti yang tidak mempunyai duri-duri halus...kat mana ye nak dapatkan di Malaysia?.

Bila Masanya Boleh Mengutip Bendi?

Bendi boleh mula dikutip kira-kira 2 bulan selepas ditanam, bila lenggai mencapai kepanjangan 5-8 cm. Tidak seperti tanaman lain, bendi dianjurkan untuk dipetik sebelum matang; bendi yang matang sukar untuk makan.

Penyimpanan. Simpan bendi didalam penyejuk beku tanpa memotong atau memasaknya terlebih dahulu.

Bagaimana Caranya Menjadikan Bendi Berdaya Keluaran (Productive)?

  1. Memangkas I. Memangkas pada awal pertumbuhan bendi menggalakkan pertumbuhan daun. Didalam kajian Adeniyi and Ayandiji (2011), tanaman bendi yang mempunyai bilangan daun yang paling tinggi menghasilkan bendi yang paling banyak. Namun begitu, ELAKKAN memangkas semasa lenggai mulai terbentuk.
  2. Memangkas II. Memangkas boleh bermula semula sesudah kelompok pertama lenggai terbentuk; seorang pekebun memberitahu bahawa apabila dia memetik daun tua, lenggai baru terbentuk pada tempat daun tua tersebut.
  3. Mengutip Hasil Berterusan. Mengutip bendi secara berkala (selang sehari) memastikan tanaman bendi sentiasa membentuk lenggai yang baru.
Penafian: Penulis berminat untu mencuba petua ini; agak sayang tanaman penulis pada masa ini sudah mula berbuah, maka tidak sempat untuk mencuba petua ini. Sekiranya berjaya, penulis akan mengemaskini status ini dan berkongsi di mukabuku Laman Lily.

Bagaimana Caranya untuk Mendapatkan Benih Bendi?

Pertama, bendi didebungakan oleh serangga; sekiranya anda menumbuhkan dua atau lebih kultivar bendi, sebaik-baiknya asingkan pokok tersebut atau benih yang bakal diperoleh berkemungkinan adalah benih hibrid. Untuk mendapatkan benih bendi, biarkan lenggai bendi kering pada pokok bendi sebelum memetiknya. Keringkan biji benih bendi dan simpan dalam bekas kedap udara yang disimpan didalam peti sejuk.

Ulasan

Panduan Popular

Ketumbar Jawa (Eryngium foetidum)

Sudah lama penulis membaca perkongsian rakan-rakan lelaman Facebok tentang tanaman ketumbar jawa. Awal januari lalu, semasa membeli-belah di pasar tani 😉, penulis ternampak pokok ketumbar jawa yang dijual, tanpa berfikir panjang 😝, penulis pun membelilah (jangan tanya harga, dah lupa 😁). Pokok ketumbar jawa penulis sudah berbunga. Ketumbar Jawa, atau nama saintifiknya Eryngium foetidum  merupakan tanaman herba tropikal yang bersifat perennial i.e. mempunyai jangka hayat yang lama. Namun begitu, ia boleh menjadi tanaman  annual  i.e. mempunyai jangka hayat kurang atau besamaan dengan 1 tahun sekiranya ia menerima pancaran cahaya matahari yang menyebabkan proses bolting  (penjelasan lanjut dibawah). Tanaman ini berasal dari Mexico dan Amerika Selatan namun pada hari ini, ia telah ditanam secara meluas, termasuk Malaysia. Nama ketumbar jawa ( culantro ) adakalanya dikelirukan dengan daun ketumbar ( cilantro , juga dikenali dengan nama coriander . Dari istilah culinary  i.e.